Monday 22 April 2019

PKMKS anjur Bengkel Penjagaan Orang Tua di Kampung Asajaya Tengah



TERIMAKASIH: Faisal menyampaikan buah tangan kepada Suzana.
KOTA SAMARAHAN: Persatuan Kebajikan Melayu Bahagian Kuching dan Samarahan (PKMKS) berpuas hati dengan penganjuran Bengkel Penjagaan Orang Tua di Dewan Tertutup Kampung Asajaya Tengah kelmarin.

Timbalan Pengerusi PKMKS, Mohd Faisal Nebi berkata, objektif PKMKS untuk mengetengahkan isu penjagaan orang tua mendapat sambutan yang menggalakkan.

"Kami dimaklumkan bahawa ada peserta yang menyatakan hasrat untuk mengadakan bengkel yang sama di kampung mereka.

"Kami teruja kerana memang tujuan utama kami dalam penganjuran bengkel ini untuk menengahkan isu penjagaan orang tua kepada para peserta," kata Faisal.

Penganjuran bengkel adalah kerjasama diantara PKMKS dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Asajaya Tengah.

Sejak pendaftaran persatuan diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan pada bulan April tahun lepas, PKMKS telah berjaya menganjurkan empat bengkel.

Menurut Faisal, PKMKS akan terus berusaha memberi kesedaran tentang isu penjagaan orang tua dan mangsa strok.

"Pada pandangan kami, ramai pihak memandang remeh kedua-dua isu ini seolah-olah tidak perlu dirisaukan.

"Tetapi hakikatnya, isu-isu ini boleh memberi tekanan keatas institusi keluarga sehingga mencetuskan suasana yang tidak harmoni.

"Atas sebab itu, kami ingin membantu dengan memberi tunjuk ajar tentang cara yang betul menjaga orang tua dan mangsa strok.

"Pada masa yang sama, kami juga berusaha untuk membantu penjaga agar sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menjalankan tanggungjawab menjaga orang tua atau mangsa strok," kata Faisal.

Beliau juga mengucapkan terimakasih kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah diatas sokongan kuat yang diberikan kepada PKMKS untuk menengahkan kedua-dua isu tersebut.

Majlis penutupan Program Perpaduan Di Hati dan Bengkel Penjagaan Orang Tua disempurnakan oleh Pegawai Perpaduan Bahagian Samarahan Suzana Busalam.

Turut hadir ialah Pengerusi KRT Kampung Asajaya Tengah Misiah Fauzi. -UtusanBorneo 

p/s PKMKS telah mengedarkan risalah mengenai Desa Bina Diri Kuching kepada para peserta.
  

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.