Monday 4 March 2019

PKMKS sambut baik program Perkhidmatan Ambulans secara percuma PKR DUN Nangka

UtusanBorneo KUCHING: Persatuan Kebajikan Melayu Bahagian Kuching dan Samarahan (PKMKS) menyambut baik program Perkhidmatan Ambulans secara percuma oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka.

Setiausaha PKMKS, Delfieqa Evona Bakri berkata program ini dijangka akan banyak memberi manfaat kepada masyarakat di DUN Nangka.

"Pihak kami ada menerima permohonan dari seorang pesakit kanser untuk membantunya mengurangkan kos pengangkutan dari rumahnya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Pihak kami telah berusaha sedaya yang mampu untuk membantu pesakit tersebut, tetapi program seperti program perkhidmatan ambulans secara percuma sudah semestinya penyelesaian yang tepat untuk orang seperti beliau," kata Delfieqa.

Beliau kemudiannya menggesa agar lebih ramai pihak yang berkemampuan mencontohi PKR DUN Nangka.

"Seelok-eloknya, perkhidmatan seperti ini disediakan oleh pihak kerajaan bagi mengurangkan beban kewangan pesakit.

"Bagaimanapun, jika kerajaan tidak mampu untuk menyediakan perkhidmatan seperti ini untuk rakyat, mungkin NGO-NGO yang berkemampuan boleh mempertimbangkan untuk menjalankan program yang baik seperti itu," katanya.

PKR DUN Nangka, menerusi kenyataan media, memberitahu program ini bertujuan memberi perkhidmatan kepada rakyat yang memerlukan pengangkutan ke Hospital Umum Sibu atau ke Poliklinik Jalan Oya.

Ketua Cabang PKR Sibu, Abdul Raafidin Majidi, memberitahu pihaknya telah melakukan tinjauan di hospital dan poliklinik sebelum mengambil keputusan untuk membuat program tersebut.

Menurutnya, hasil tinjauan itu mendapati rata-rata pesakit datang ke hospital dan poliklinik menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan kenderaan 'kereta sapu'.

Oleh Sepawie K. Alwi


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.