Tuesday 13 August 2019

Usahawan patut pertimbang pendekatan pemasaran secara berkumpulan


KOTA SAMARAHAN: Para usahawan patut mempertimbangkan pendekatan pemasaran secara berkumpulan untuk memasarkan produk atau perkhidmatan mereka secara atas talian.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Melayu Bahagian Kuching dan Samarahan (PKMKS) Sepawie K. Alwi berkata ahli-ahli kumpulan boleh mendapat manfaat seperti belajar teknik pemasaran atas talian yang lebih berkesan.

"Bukan semua usahawan mempunyai kemahiran pemasaran atas talian yang baik.

"Jika kita bersama dalam satu kumpulan, kita akan dapat belajar daripada rakan-rakan kita yang mempunyai kemahiran yang lebih baik daripada kita," kata beliau ketika berucap pada Majlis Penutupan Kelas Pemasaran Atas Talian eUsahawan di Dewan Suarah Kota Samarahan Sabtu lepas.

Beliau juga menggesa para usahawan agar sentiasa berusaha untuk menambah ilmu pengetahuan tentang pemasaran untuk menjadi usahawan yang berjaya.

Sepawie juga memberitahu selain daripada mengadakan kelas pemasaran atas talian, PKMKS juga mengadakan aktiviti-aktiviti yang bertunjangkan kesihatan.

Beliau menambah, walaupun aktiviti-aktiviti bertunjangkan kesihatan adalah aktiviti teras persatuan, ia turut mengadakan aktiviti-aktiviti yang berada di luar skop kesihatan kerana aktiviti-aktiviti ini turut memberi kesan kepada kesejahteraan masyarakat.

Beliau turut mendedahkan PKMKS akan mengadakan sesi penerangan bantuan kewangan untuk usahawan Asajaya pada Sabtu ini di Pejabat Daerah Asajaya.

Menurut Sepawie, sesi penerangan ini merupakan lanjutan daripada kelas pemasaran atas talian yang telah diadakan pada Julai 20 lepas.

PKMKS akan mengadakan siri ketiga kelas pemasaran atas talian di Batu Kawa pada Ogos 25 ini. -UtusanBorneo
  


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.